Baru-baru ni aku dapat satu article yang dikongsikan melalui group WhatsApp berkaitan adab ibu bapa apabila bercakap dengan anak. Yup, selalu kita didik anak bagaimana untuk berbudi bahasa apabila bercakap dengan orang yang lebih tua tapi dalam masa yang sama kita sendiri tak sedar mungkin bahasa yang kita gunakan seharian dengan anak-anak juga adalah bahasa ‘dosa’ yang memberikan kesan tak elok kepada mereka.
Adakalanya bahasa yang kita gunakan menyebabkan anak semakin degil dan nakal. Tahu kan yang setiap kata-kata yang keluar dari mulut kita sebagai ibu dan ayah adalah satu doa untuk diorang. Jadi, elakkan menggunakan ‘bahasa dosa’ dalam proses mendidik anak-anak.
Okeh, ni antara intipati yang aku cedok dalam article tu yang aku rasa sangat berguna untuk aku kongsikan di blog aku ni. Sumber asal article ni aku tak tahu dari mana tapi andai tuan punya tulisan ni membaca, mohon halalkan perkongsian aku ni untuk manfaat bersama dan boleh PM aku supaya aku dapat kreditkan dalam article ni.
Menurut Pakar Psikologi Klinikal Hospital Pakar An-Nur iaitu Dr.Azlina Roszy Mohamad Ghaffar. Katanya ada 10 ‘bahasa dosa’ yang kita sebagai ibu bapa perlu tahu dan harus dielakkan supaya anak yang kita didik dapat dibesarkan dalam persekitaran yang positif.
1. Bahasa Melaknat
Sering mengeluarkan kata-kata sumpah seranah, maki hamun, carutan. Anak yang sering ditengking dan dimaki hamun biasanya akan menjadi seorang yang berjiwa keras, memberontak, kurang keyakinan diri.
2. Bahasa Menyindir
Contoh ayat “Asyik mintak duit je. Kamu ingat ayah/ibu kerja cop duit?”
Bahasa ini sangat mengguris emosi anak. Anak-anak biasanya tidak faham bahasa sindiran. Lebih baik berterus-terang dan menggunakan ayat yang jelas dan mudah difahami.
3. Bahasa Menipu
Contohnya “Jangan nakal-nakal ye, nanti polis tangkap baru tau.”
Tanpa disedari kebanyakan ibu bapa sering menggunakan bahasa ini dalam situasi hendak memujuk anak. Hakikatnya ibu ayah tidak boleh berbohong kepada anak! Ia akan menghilangkan kepercayaan anak kepada ibu ayah dan akhirnya mereka sendiri meniru perbuatan tersebut.
4. Bahasa Menempelak
Contoh ayat “Tulah, tak nak dengar cakap ibu. Kan dah jatuh. Padan muka!”
Anak-anak tidak dapat belajar apa-apa daripada ayat yang mengguris emosi mereka. Sebaiknya, beritahu sahaja apa kesilapan tersebut dan nasihatkan supaya mereka tidak mengulanginya lagi.
5. Bahasa Membebel
Hakikatnya tiada siapa pun suka dirinya dileteri. Sebaiknya berikan arahan ataupun tegur anak dengan ayat yang ringkas dan mudah difahami. Fokus kepada kebaikan yang mereka buat. Anak yang sering dikritik dan dibebel tak akan maju ke depan, malah akan hilang keyakinan diri mereka.
6. Bahasa Mengungkit
Contoh ayat “Teruknya result periksa. Buat penat je ayah/ibu hantar tuisyen, belikan buku. Buang duit je macam ni.”
Sebaiknya ibu ayah perlu ikhlaskan hati dan banyakkan bersabar dalam mendidik anak-anak. Bukankah mereka itu amanah dari Allah SWT.
7. Bahasa Membandingkan
Contoh ayat “Cuba kamu tengok abang/kakak, rajin tolong ibu. Kamu ni asyik tahu nak main je.”
Jangan bersikap pilih kasih dan suka membandingkan anak-anak. Setiap anak mempunyai kelebihan masing-masing. Perbuatan melebihkan atau menyayangi anak-anak tertentu hanya akan menjadikan anak-anak lain rasa rendah diri, tidak disayangi dan tertekan. Bahkan hubungan antara mereka juga akan renggang.
8. Bahasa Mengugut
Contoh ayat “Kalau tak berhenti menangis, ayah/ibu lari dari rumah.”
Anak-anak memang perlu diajar tentang akibat sesuatu perbuatan, tetapi bukan dengan mengugut. Sebaiknya ibu bapa tetapkan peraturan di rumah beserta denda jika ia dilanggar, dan ini mesti diterangkan dengan jelas kepada anak-anak. Ibu ayah perlu konsisten, tegas dan hukuman yang dikenakan perlu berpatutan. Insha Allah anak-anak akan faham akibat perbuatan mereka serta jadi lebih berdisiplin.
9. Bahasa Menuduh
Contoh ayat “Kenapa adik menangis? Abang/kakak buat ya?”
Jangan terus buat tuduhan! Sebaiknya siasat dulu untuk tahu keadaan sebenar. Berikan anak peluang untuk menerangkan hingga habis tentang situasi sebenar. Janganlah disebabkan anda sebagai orang tua, maka tidak mahu langsung mendengar penjelasan anak. Dengan cara ini, ia memberikan mereka keyakinan dan keberanian untuk berterus-terang dan mengaku kesalahan (jika berbuat salah) dengan jujur.
10. Bahasa Bisu
Dengan mendiamkan diri ia tak akan membantu anak untuk membetulkan kesalahan mereka. Bahkan akan membuatkan mreka rasa lebih tidak disayangi serta menjauhkan diri.
Hurmmm… Tanpa sedar ada juga bahasa yang aku biasa gunakan. Huhuhu… Kekadang walaupun dengan intonasi lembut dan manja tapi kita tanpa sedar sedang menggunakan ‘bahasa dosa’ dalam mendidik anak. Cuba audit balik diri kita, pernah tak kita gunakan ayat yang macam ni.
“Kalau makan nasi tak habis nanti nasi tu menangis”…
“Plastik gula-gula tu kalau tak buang dalam bekas sampah nanti abah dah tak nak belikan gula-gula lagi”…
“Kenapa abang colour terkeluar dari garisan ni, tengok kakak tu colour cantik jer”…
“Haaa kan dah… Tadi mama dah cakap kan, lantai tu licin. Padan muka. Lari la lagi”…
Bahasa membebel takyah kot aku bagi contoh sebab itu yang paliing biasa kita lakukan bila anak tak mendengar kata. Menjadi ibu bapa itu tugas yang sangat mencabar dan tidak mudah. Ia satu perjuangan dalam menggalas tanggungjawab menjaga amanah dari Allah. Tapi ia akan berakhir dengan kebahagiaan apabila anak yang dibesarkan dan dididik menjadi anak yang baik dan bermanfaat kepada orang lain.
Semoga anak-anak kita menjadi anak yang soleh dan solehah dan dapat berbakti kepada agama dan kedua orang tua. Aminnn…
Haidar says
Elakkan menggunakan tangan atau apa-apa alat untuk mengajar anak dengan cara memukul. Kita teladani Rasulullah saw yang tak pernah berkasar dengan anak-anak.
Miera Hassan says
kadang-kadang tak sedar terguna perkataan macam ni.. sebab menjadi kebiasaan, terdengar dari dulu lagi perkataan-perkataan macam ni..huhu..
tetiba teringat anak angkat mak jaga.. Pernah juga terguna bahasa macam ni.. alahai.. T_T